Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Sister in Islam (SIS) meluahkan rasa kecewa terhadap celaan biadap yang dilancarkan pelampau agama terhadap kumpulan G25 yang menganjurkan forum bertajuk 'Islam in a Constitutional Democracy', di Kuala Lumpur, kelmarin.
Menurut wakil SIS, sepatutnya usaha untuk memperbaiki sistem perundangan syariah yang disertai hujah-hujah selari dengan al-Qur'an dan sunnah Rasulullah (s.a.w) mendapat sambutan positif di kalangan masyarakat Islam. Selain itu ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk membanteras gejala ekstremisme dan menjadikan Malaysia sebagai model negara bermajoriti Muslim yang mengamalkan konsep wasatiyyyah.
Oleh itu, SIS berasa amat kesal apabila kritikan dan tohmahan biadap dilemparkan kepada kumpulan G25. Antara kritikan yang dilontarkan kepada kumpulan tersebut termasuklah tuduhan yang kumpulan tersebut menggalakkan zina berleluasa dan memanggil untuk kumpulan tersebut bertaubat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, SIS menegaskan bahawa operasi mencegah khalwat melalui intipan dan menjatuhkan maruah individu adalah bercanggah dengan ajaran Islam, apatah lagi sudah terdapat kes-kes tangkapan khalwat yang berakhir dengan kematian dan malangnya tiada tindakan undang-undang dilaporkan diambil terhadap mereka yang mengakibatkan kehilangan nyawa tersebut.
“Akta Kesalahan Jenayah Syariah terutamanya yang berkaitan dengan ‘moral policing’ amat bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak privasi yang dijamin dalam Islam.
“Terdapat pelbagai surah dalam Al-Quran yang menunjukkan ini, seperti Surah al-Hujurat (49:12) yang berkata, “Janganlah mencari rahsia orang lain” dan Surah an-Nur (24:27, 28) yang berkata: “Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih baik untuk kamu,” jelasnya.
Tambahnya, tiada sumber akademik dalam sejarah Islam yang mewar-warkan amalan mengintip dan mencari aib orang lain melalui ‘moral policing’.
“Perbuatan mengintip juga melanggar hak rakyat hidup dalam negara demokrasi sepertimana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Adalah amat dikesali apabila undang-undang jenayah Syariah di Malaysia diimplementasi tanpa mengambil kira prinsip keadilan, hak privasi dan pembelaan maruah individu.
“Sebaliknya, operasi khalwat dijalankan untuk menjatuhkan maruah individu atas dasar agama dan yang lebih dikhuatiri adalah kecenderungan untuk melakukan serbuan khalwat terhadap mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah atau mereka yang dipinggirkan masyarakat.
“SIS menyeru ahli pembela agama dan pengamal undang-undang Syariah untuk menerima kritikan konstruktif dan cadangan yang berlandaskan hujah-hujah Islamik dan bekerjasama untuk membaikpulih sebarang kepincangan dalam pentabdiran dan pelaksanaan undang-undang Syariah di Malaysia.
“Kemaslahatan orang Islam akan lebih terbela apabila kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang membela hak asasi manusia dan menekankan sikap kasih sayang dan keinsafan,” katanya.
Sejarah Islam membuktikan khalifah Umar pernah ditegur kerana melakukan kesalahan mengintip, menceroboh dan masuk ke dalam rumah tanpa izin ketika melakukan operasi menyerbu pasangan berzina.
Di zaman pemerintahan Umar bin Khatab, khalifah tersebut cuba pernah berjalan di tangah malam terdengar suara seorang lelaki di dalam sebuah rumah yang sedang asyik tertawa. Semakin beliau mendekat, beliau juga mendengar suara gelak tawa wanita.
Khalifah Umar bin Khatab mengintip rumah tersebut lalu memanjat jendela dan masuk ke rumah tersebut lantas mengherdik lelaki tersebut dengan berkata:
“Hai hamba Allah! Apakah kamu mengira jika Allah akan menutup aib dirimu sedangkan kamu berbuat maksiat!!”
Dengan tenang lelaki yang diherdik tersebut menjawab tuduhan Umar dengan berkata:
“Wahai Umar, jangan terburu-buru ke atasku, mungkin hamba melakukan satu kesalahan, tapi anda melakukan tiga kesalahan,” jawab lelaki itu. Umar bin Khatab hanya terpaku, si lelaki tersebut meneruskan bicara.
“Yang pertama, Allah berfirman: jangan kamu (mengintip) mencari-carai kesalahan orang lain (Al Hujurat:12) dan anda telah melakukan hal tersebut dengan mengintip ke dalam rumah hamba,” ujar lelaki tersebut.
“Yang kedua, Allah berfirman: masuklah ke rumah-rumah dari pintunya (Al Baqarah: 189) dan anda tadi menyelinap masuk ke dalam rumah hamba melalui jendela,” tutur lelaki tersebut.
“Dan yang ketiga, anda sudah memasuki rumah hamba tanpa izin, padahal Allah berfirman: jangan kamu masuk ke rumah yang bukan rumahmu sebelum kamu meminta izin (An-Nur: 27),” lanjutnya.
Menyedari bahawa dirinya juga salah, Umar lantas berkata, “Apakah lebih baik di sisimu jika aku memaafkanmu?” lantas lelaki tersebut menjawab, “Ya, amirul mukminin”. Umar pun memaafkan lelaki tersebut dan meminta izin pergi dari rumah tersebut.